Wednesday, April 23, 2014

MESYUARAT PENGURUS PASUKAN BAGI SUKAN MENEMBAK, ANGKAT BERAT & TINJU KARNIVAL REMAJA KEBANGSAAN 1/2014

Tarikh : 22 April 2014 (Selasa)
Masa : 5.00 Petang - 6.30 Petang
Tempat : Lapang Sasar Menembak Sungai Batu Pahat, Perlis.
SUKAN MENEMBAK

Majlis Sukan Negara Malaysia dengan kerjasama Persatuan Sukan Kebangsaan serta Sekretariat Sukan Malaysia XVII, Perlis 2014 telah mengelolakan Karnival Remaja Kebangsaan Perlis Siri 1/2014 pada 22 hingga 26 April 2014 bertempat di Lapang Sasar Menembak Sungai Batu Pahat, Perlis.

Kejohanan ini adalah sebagai 'try run' kepada persiapan pengelolaan Sukan Malaysia XVII, Perlis 2014. Pengelolaan kejohanan ini juga merupakan program pihak majlis bagi menilai prestasi atlet-atlet terbaik yang menjalani latihan di Pusat Latihan Negeri (PLN) di bawah program Pelapis Negeri seluruh negara yang melibatkan para atlet berumur 7 hingga 21 tahun. Di samping itu juga, kejohanan ini turut memberikan peluang tambahan dan pendedahan pertandingan yang lebih kepada atlet-atlet.

Sesi pendaftaran dan pemeriksaan peralatan telah dijalankan. Atlet juga telah membuat latihan rasmi menembak sebagai persediaan kejohanan. Taklimat dan mesyuarat pengurus pasukan berlangsung sekitar jam 5.00 petang. Sebanyak 10 negeri telah mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini iaitu Perak, Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang. Jumlah atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini ialah sebanyak 92 orang. Atlet lelaki 42 orang dan atlet wanita 50 orang.
Sebanyak 4 acara yang dipertandingkan iaitu 10M Air Pistol-Men (23 orang atlet), 10M Air Pistol-Woman (22 orang atlet), 10M Air Rifle-Men (19 orang atlet) dan 10M Air Rifle-Woman (28 orang atlet). Setiap atlet perlu membuat tembakan sebanyak dua (2) kali iaitu bagi individu dan final bagi setiap acara yang dipertandingkan. Sesi penyampaian hadiah akan diadakan pada 26 April 2014 (Sabtu). Diharap atlet-atlet daripada pasukan Pulau Pinang dapat mempersembahkan prestasi yang terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

SUKAN ANGKAT BERAT

Tarikh : 22 April 2014 (Selasa)
Masa : 5.00 Petang - 6.30 Petang
Tempat : Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri Perlis
Mesyuarat Pengurus Pasukan bagi Karnival Remaja Kebangsaan 01/2014 telah dapat diadakan hari ini dengan dipengerusikan oleh En. Khairun Haled dari Cawangan Pengurusan Acara,Majlis Sukan Negara Malaysia. Tujuan mesyuarat ini diadakan bagi mengesahkan penyertaan pasukan serta atlet yang akan bertanding pada kejohanan kali ini. Melalui mesyuarat ini, sebanyak 17 negeri dan kelab telah mengesahkan penyertaan. Antara negeri dan kelab yang mengambil bahagian adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, ATM, Labuan, Sabah, Sarawak, Pelapis Serantau dan Pelapis Kebangsaan. Pengesahan atlet adalah seramai 50 atlet lelaki dan 15 atlet wanita bagi kategori bawah 17 tahun dan manakala kategori terbuka belum disahkan lagi jumlah penyertaan. Makluman dari mesyuarat ini, kejohanan ini merupakan medan kelayakan atlet ke Temasya Sukan Komanwel 2014. Kejohanan ini akan bermula pada 23 hingga 26 April 2014 dan bertempat di Institut Kemahiran Belia Negara, Kuala Perlis. Wakil dari pihak ISN turut hadir bagi menerangkan penggunaan bahan terlarang dalam sukan dan akan mengadakan perjumpaan ringkas pada petang esok untuk atlet bawah 17 tahun. Esok akan bermula kejohanan melibatkan peringkat umur bawah 17 tahun bagi kategori lelaki 50 kg, 56 kg (9.00 pagi), 62 kg, 69 kg (11.00 pagi), 77 kg (2.00 petang) dan 85 kg (4.00 petang). Mesyuarat ditangguhkan jam 6:30 petang.

SUKAN  TINJU

Tarikh : 22 April 2014 (Selasa)
Masa : 8.30 malam - 9.30 malam
Tempat : Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri Perlis

Pada sebelah malam, hanya Mesyuarat Pengurus bagi sukan Tinju telah diadakan dimana dipengerusikan oleh Encik Ridwan dari Cawangan Pengurusan Acara,Majlis Sukan Negara Malaysia. Mesyuarat Pengurus Pasukan hari ini akan membincangkan tentatif kejohanan serta mendapatkan statistik penyertaan atlet dari setiap negeri yang bertanding. Seramai 140 orang atlet telah mengesahkan penyertaan yang melibatkan 12 negeri dan 3 kelab dimana 3 peringkat umur dipertandingkan iaitu peringkat umur 13-14 tahun, 15-16 tahun dan 17-18 tahun. Pada esok hari secara rasminya akan bermula pertandingan dimana sebelah pagi hanya timbang berat dan pemeriksaan kesihatan dijalankan. Acara dijangka bermula pada jam 2 petang dan pihak penganjur menjangkakan akan tamat sebelum 6.30 petang. Turut dibangkitkan isu segelintir negeri yang masih tidak melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum ke kejohanan. Mesyuarat ditangguhkan pada jam 9.30 malam.

Sekian, terima kasih.

Laporan dari Perlis Indera Kayangan

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  ©Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Pulau Pinang (C) 2009-2010. All rights reserved