Tuesday, November 12, 2013

LAPORAN PERINGKAT HARI PERTAMA PROGRAM PENCARIAN BAKAT (TID) SUKAN AKUATIK – RENANG.

Tarikh : 7 - 8 November 2013 (Khamis & Jumaat)
Masa : 10.30 Pagi hingga 1.00 Petang
Tempat : SJK (C) Phor Tay, SJK (C) Perempuan China dan SJK (C) Hun Bin.

Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Renang Amatur Pulau Pinang (PASA) telah mengadakan satu Program Pencarian Bakat (TID) Sukan Akuatik – Renang yang melibatkan beberapa sekolah rendah sekitar lokasi Chinese Swimming Club, Pulau Pinang. Ini kerana sekolah yang terlibat berdekatan dengan lokasi TID tersebut dan memudahkan murid-murid yang terpilih menjalani latihan di Chinese Swimming Club, Pulau Pinang. Antara sekolah yang dijemput melalui kebenaran Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang ialah SK Convent Pulau Tikus, SJK(C) Phor Tay, SJK (C) Perempuan China, SK Tanjong Tokong dan SJK (C) Hun Bin tetapi hanya 3 buah sekolah sahaja yang telah bersetuju untuk terlibat dalam program ini iaitu SJK(C) Phor Tay, SJK (C) Perempuan China dan SJK (C) Hun Bin.

Tujuan Program Pencarian Bakat (TID) ini dijalankan bagi mencari bakat baru dalam Sukan Akuatik – Renang. Selain itu dapat mempromosikan program Pelapis dan juga menyahut seruan kerajaan iaitu “satu murid satu sukan”. Guru-guru dan murid-murid yang terlibat juga telah memberikan sepenuh kerjasama dan komitmen yang padu dalam menjayakan program ini.

Pada hari pertama program, pihak kami telah pergi ke dua buah sekolah iaitu SJK(C) Phor Tay dan SJK (C) Perempuan China. Pada hari kedua program pula pihak kami telah pergi ke sebuah lagi sekolah iaitu SJK (C) Hun Bin. Jumlah keseluruhan murid yang telah terlibat dalam program ini di 3 buah sekolah rendah tersebut ialah seramai 209 orang dan membabitkan murid darjah 1 hingga darjah 4. Program ini dimulakan dengan penerangan jurulatih tentang Sukan Akuatik – Renang. Jurulatih juga memberitahu murid yang tidak pandai berenang juga digalakkan menyertai program ini asalkan murid tersebut tidak takut untuk masuk ke dalam kolam renang kerana jurulatih akan memberi latihan berenang kepada murid yang terpilih.

Pihak Persatuan Renang Amatur Pulau Pinang (PASA) juga telah banyak membantu pihak kami dalam menjalankan program ini dan pemilihan peringkat pertama di 3 buah sekolah ini juga telah berjalan dengan lancar tanpa mengalami sebarang masalah. Murid-murid yang terpilih akan menjalani pemilihan peringkat kedua di Chinese Swimming Club, Pulau Pinang pada 9 November 2013, jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang.

Sekian, terima kasih.

Laporan disediakan oleh
Azira Binti Azizan

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  ©Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Pulau Pinang (C) 2009-2010. All rights reserved